Tuesday, September 29, 2009

Tuhan adalah segala-galanya (2)


Nikmat yang Tuhan kurniakan kepada hambanNya tidak terhitung banyaknya. Sebagai hamba kita hendaklah sentiasa bersyukur. Sekadar gambar hiasan.



Sebagai usaha untuk kita hamba merasai kehambaan marilah kita sama-sama seringkali ingat akan hakikat hidup kita ini tetap tidak terlepas dari kekuasaan Allah swt.

1. Setiap manusia ada cita-cita, kemahuan dan keinginan. Lazimnya untuk mencapai cita-cita itu manusia akan berusaha. Maka berjaya atau berhasil mencapai cita-cita atau keinginan. Hendaklah benar-benar ingat serta rasai bahawa itu semua adalah kurniaan dan anugerah Allah swt. Usaha dengan kerahan tenaga, kegigihan, bersungguh-sungguh termasuk dengan akal fikiran, itu juga adalah pemberian Allah swt. Kejayaan itu adalah dengan izin Allah swt yang sudah ditentukan semenjak azali. Tidak bergerak dan tidak diam sesuatu itu malainkan dengan izin Allah swt. Berterima kasihlah kepada Allah yang maha baik.

2. Semua manusia ada cita-cita, keinginan dan kemahuan. Maka manusia pun berusaha. Ramai yang gagal mencapai cita-cita. Ingatlah bahawa semua itu adalah dengan kehendak Allah swt. Manusia ada kehendak, Allah swt ada kehendak, kehendak Allah jua yang berlaku. Rasakan bahawa betapa lemah dan tiada kuasanya manusia. Kalau kita ada kuasa tentulah segala kehendak dan kemahuan kita itu akan diperolehi bahkan dengan mudah. Kita kena melihat kepelbagaian ragam dan corak dalam kehidupan manusia supaya kita dapat merasakan bahawa kepelbagaian itu semua adalah bukti kekuasaan Allah swt. Adalah amat silap apabila berjaya dikatakan sebab usaha dan keupayaan diri. Apabila gagal dikatakan takdir Tuhan. Ini yang sering difahami oleh manusia. Hakikatnya memang semua dari Tuhan, tetap dari segi adabnya setiap kejayaan disandarkan kepada Tuhan dan apabila gagal maka disandarkan kepada kelemahan diri. Baginilah sikap para hamba yang beradab dan berakhlak kepada Tuhan. Disebalik kegagalan itu terhimpun berbagai hikmah dan pengajaran. Ada maksud baik dari Tuhan, hanya kita para hamba yang akal amat terbatas, maka tidak memahami maksud baik Allah swt itu.

3. Manusia ada cita-cita dan kemahuan, maka diuasahakan. Namun apa yang sering berlaku, lain yang dicita-citakan lain pula yang diperolehi. Rasakan bahawa begitulah sukatan Tuhan keatas kita dalam aspek kehidupan. Terimalah seadanya kerana begitulah yang Tuhan kehendaki untuk kita. Situasi begini semua manusia kena terima dan tidak dapat dielakan. Hikmah besar disebaliknya ialah agar para hamba dapat merasakan bahawa Tuhan boleh berbuat apa saja menurut apa yang Tuhan kehendaki. Seluruh alam semesta ini asalnya dari tiada, kemudia Tuhan adakan. Apakah setelah Allah swt adakan maka Allah swt berlepas tangan? Tidak gerak dan tidak diam sesuatu itu melainkan dengan izin Allah swt.

4. Banyak perkara yang manusia tidak mahu berlaku dalam hidupnya seperti penyakit, susah, bencana dan lain-lain. Maka diusaha menghindarinya. Kalau berjaya rasakan bahawa Allah swt yang memberi bekas dan memberi kejayaan, bersyukurlah kepada Allah yang mentadbir tiap-tiap sesuatu.

5. Banyak perkara yang dibenci, yang kita tidak mahu terjadi dalam hidup. Setelah diusahakan, namun terjadi juga. Maka rasakan bahawa disebalik semua itu ada maksud baik dari Tuhan, banyak hikmah dan pengajaran. Sekurang-kurangnya untuk kita insaf dan sedar serta bersungguh-sungguh kembali kepada Tuhan. Dalam sebuah hadis Qudsi ada firman Allah yang disabdakan oleh Rasulullah saw bermaksud, “ Apabila seorang hamba itu tercatit namanya satu darjat dalam syurga. Hamba itu tidak berupaya mencapainya dengan amalan. Maka Tuhan datangkan ujian yang dengan itu dia bersabar. Maka kekal namanya dalam syurga itu.” Itu kalau satu darjat, betapalah kalau Tuhan letakan pada darjat yang lebih tinggi. Sebab itu ujian kepada manusia ini sangat terletak pada taraf keimanan seseorang. Semakin tinggi taraf iman seseorang maka semakin beratlah ujian. Sebab itu Tuhan datangkan ujian paling berat adalah terhadap para Rasul. Dikalangan Rasu-Rasul pula yang paling berat adalah Baginda Nabi Muhammad saw.

Rasulullah juga ada menyebut dengan maksud, “Tidaklah seseorang itu tertusuk selumbar melainkan untuk Allah hapuskan dosanya.” Manakala itu dalam hadis yang lain Rasulullah saw mengingatkan bahawa akibat dosalah maka Tuhan datangkan kesusahan hidup terutamanya kesempitan rezeki. “Tidaklah Allah tahan rezeki seseorang itu dari atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang melainkan atas sebab dosa yang dilakukannya.” Kalau ini berlaku kepada kita maka banyakkanlah bertaubat.

6. Banyak perkara yang berlaku kepada manusia samada berbentuk positif mahu pun yang negatif adalah perkara yang manusia tidak pernah terfikir atau terlintas. Ini lebih lagi kita kena merasakan betapa Allah swt itu maha berkuasa. Setiap hari berbagai perkara dan peristiwa yang kita tidak terlintas akan berlaku. Dapatkah kita menolaknya kalau sesuatu itu sifatnya yang kita tidak mahu? Cubalah renungkan. Semua itu terjadi maksud Tuhan yang paling utama ialah agar manusia kembali kepada Tuhan.

Andainya semua enam aspek ini dapat dihayati maka semakin hampirlah seoarang hamba itu mendapat kebahagiaan syurga yang disegerakan. Kerana dia adalah orang yang merasakan Tuhan segala-segalanya. Mendapat Tuhan ertinya mendapat segala-galanya. Kehilangan Tuhan ertinya kehilangan segala-galanya. Orang yang kehilangan Tuhan dalam keadaan senang pun tidak terhubung hatinya dengan Allah swt bahkan kadang-kadang derhaka kepada Tuhan. Dalam kedudukan kaya, berkuasa, cerdik, tidak merasakan semuanya adalah milik Tuhan. Dalam keadaan susah, menderita, menjadi rakyat jelata pun terputus juga dari Tuhan, tidak sabar, tidak redha dan terus melupai Allah swt.

Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya Aidilifitri


Salam...kepada semua pengunjung blog saya, ibu-bapaku yang amat disayangi, guru-guru, sahabat, saudara mara, anak-anak muridku dan sesiapa sahaja yang mengenali diri saya, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri. Ampun maaf dipinta, pastinya ada silap dan salah daripada saya, sebagai mansusia biasa, sesungguhnya tidak dapat lari daripada salah dan silap.

Saturday, September 19, 2009

Tuhan adalah segala-segalanya (1)

Menziarahi kubur nenek pada pagi hari raya

Salam, sudah beberapa hari rasanya ‘entry’ ini tidak diisi dengan pengisian rohani. Kesibukan dengan kerja-kerja di maktab tambahan lagi dengan persiapan menyambut hari raya aidilifitri, balik kampung dan aktiviti di bulan Ramadan.


Kali ini, saya kembali lagi dengan bicara ‘rasa’. Segala apa yang bakal dikongsi ini adalah hasil curahan ilmu oleh guru saya yang banyak memberi kesan dalam kehidupan saya. Semasa saya di sekolah menengah, saya banyak didik olehnya. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepadanya. Beliau sekarang dikhabarkan dalam keadaan yang kurang sihat. Semasa ayah dan ibu saya melawatnya, senyuman tetap terukir di wajahnya walaupun dalam keadaan sakit. Itulah sebahagian sikapnya, perbuatannya adalah medium utama dalam menyampaikan dakwah.


Inilah antara mutiara ilmu yang dicurahkan oleh beliau yang boleh dikongsi bersama, semoga kedatangan syawal pada kali ini membawa perubahan kepada diri kita. Ramadan yang bakal meninggalkan kita telah membawa kesan dalam jiwa kita sehingga kita akhirnya mengenal diri kita sebagai seorang HAMBA.

1. Memiliki rasa kehambaan secara automatik akan turut memiliki rasa bertuhan dan bagitulah sebaliknya.. Rasa kehambaan ertinya hati sentiasa dikuasai oleh rasa atau perasaan yang selayaknya bagi seorang hamba.Seorang hamba selayaknya merasai hina, lemah, dhaif, berdosa, bersalah, takut, bimbang, cemas, mengharap, rasa dikuasai, rasa menyerah, rasa dilihat dan diketahui oleh Allah swt.

2. Memiliki rasa kehambaan ini adalah salah satu rahsia kebahagiaan hidup. Ini kerana perasaan tenang, tenteram, tidak terganggu dan tidak tergugat oleh apa pun dalam hidupnya. Semuanya tenggelam dalam takut dan cinta kepada Allah swt. Yakni tiada apa lagi yang ditakutinya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah takutkan Allah swt. Perasaan takut kepada yang lain itu tidak lebih hanyalah takut yang bersifat fitrah yang tidak akan sampai mengatasi takutkan Tuhan. Begitu juga tiada apa yang dicintainya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah cintakan Allah swt. Perasaan cinta kepada yang lain itu hanyalah cinta fitrah yang tidak sampai mengatasi cintanya kepada Allah swt.

3. Bukan mudah untuk memiliki rasa kehambaan kepada Tuhan. Rata-rata kita menempuh pendidikan formal atau informal yang mendorong atau merangsang atau menyuburkan sifat dan sikap angkuh, sombong, takbur, membesarkan diri, hairan dan ajaibkan diri, kagum kepada diri, degil, ego dan mementingkan diri. Inilah sifat iblis yang Tuhan lemparkan laknat kepadanya. Bukan mudah untuk mengikis sifat dan sikap iblis ini. Lantaran itulah manusia bukan sahaja sanggup menzalimi sesama manusia, bahkan terhadap Allah swt pun manusia sanggup derhaka. Sebab itu kalau kita lihat mana-mana manusia kalau terhadap Tuhan yang Maha Berkuasa yang sepatutnya ditakuti, pun sanggup dia derhaka, agak-agaknya apakah orang begini takut dengan manusia dan undang-undang manusia. Melainkan selagi ada cara untuk lepas dan bebas nescaya akan dilakukannya.

Bersambung....


Friday, September 11, 2009

Adakah anda seorang gentleman?

'A Malay Gentleman ialah lelaki Melayu yang terdidik dalam kesusilaan, Melayu yang halus, yang sensitif terhadap nilai-nilai murni universal, tahu malu, bersih dan bijak menjaga kehormatan'-Sekadar gambar hiasan.



1. Lelaki gentleman seorang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tahu apa matlamat hidup yang ingin dicapai dan dia bersemangat bagi merealisasikan impiannya.

2. Dia banyak bertimbang rasa dengan orang lain.

3. Dia pandai menyesuaikan diri dalam banyak keadaan.
4. Salah satu peribadi gentleman adalah apabila dia diperlakukan dengan buruk, dia membalas dengan berbuat baik, dan bukan dengan membalas keburukan itu.
5. Lelaki gentleman lebih banyak senyap daripada bercakap.
6. Wanita mudah percaya dan tertarik kepada lelaki yang berpakaian kemas.
7. Seorang lelaki tidak serius dalam hidupnya selagi dia tidak suka memakai baju masuk dalam (tuck in) dan bertali leher.
8. Lelaki gentleman sentiasa mengucapkan terima kasih kepada sesiapapun bagi menyampaikan rasa penghargaan.
9. Gentleman mampu menjadikan hati wanita cair apabila berhadapan dengannya.
10. Lelaki gentleman menggunakan sifat yakin dirinya apabila berhadapan dengan wanita.
11. Lelaki gentleman sentiasa memandang muka wanita semasa wanita itu bercakap kepadanya atau sewaktu lelaki sendiri sedang bercakap kepada wanita.
12. Lelaki gentleman adalah lelaki yang pandai membelai jiwa wanita dan faham keperluan wanita secara kejiwaannya.
13. Lelaki gentleman bukan seorang pemalu. Malunya ditempatkan pada dua perkara sahaja iaitu pada melakukan perbuatan maksiat dan mendedahkan dia kepada jatuhnya maruah diri.
14. Lelaki gentleman dikagumi kerana sifat gentleman yang yakin dan tidak pemalu.
15. Lelaki gentleman menggunakan gaya bercakap yang dinamik dan sangat meyakinkan. Mereka bercakap dengan lancar, tidak tersekat-sekat dan tidak teragak-agak. Bahasa mereka betul nahunya, tidak patah-patah dan tidak bercampur aduk dengan bahasa-bahasa lain. Sebutan mereka juga terang dan jelas.
16. Lelaki gentleman tidak berpeluk tubuh semasa bercakap dengan orang lain. Berpeluk tubuh menandakan seseorang itu bersikap defensif.
17. Lelaki gentleman yang berpenampilan menarik mempunyai peluang yang lebih baik untuk menarik perhatian wanita.
18. Memulakan langkah pertama. Anda bukan lelaki gentleman jika anda membiarkan wanita yang memulakan perbualan dan mengatur pertemuan.
19. Melayan semua wanita seperti ‘ratu cantik’ walaupun anda tidak menganggapnya sebagai teman istimewa. Jika seorang wanita rasa dirinya istimewa di mata anda, dia akan memberi komen yang positif mengenai anda pada rakan-rakan wanitanya.
20. Belanja makan pada pertemuan pertama. Bukannya wanita tidak mampu tetapi jika anda membiarkan wanita mengeluarkan wang pada pertemuan pertama, ini menunjukkan anda tidak berkemampuan ‘menjaganya’ kelak.
21. Yakinkan diri anda mempunyai sifat lelaki gentleman yang diidamkan oleh semua wanita.
22. Gunakan sifat-sifat maskulin anda seperti membukakan pintu, menawarkan diri untuk menghantarnya pulang, membantunya mengangkat benda-benda berat dan lain-lain lagi. Sifat ini akan memberikan rasa selamat pada diri seorang wanita dan membuatnya rasa dilindungi.
23. Wanita melihat kemampuan kewangan, fizikal dan mental seorang lelaki sebagai potensi teman hidup. Anda harus faham fitrah wanita mahu dirinya dijaga, dilindungi dan masa depannya terjaga. Mereka mahukan jaminan bahawa anda adalah tempatnya bergantung jiwa dan raga. Jika mereka melihat anda tidak tegas membuat keputusan mengenai perkara-perkara kecil, mereka mungkin berpendapat anda juga tidak tegas apabila berumah tangga. Sama seperti kewangan, wanita mesti diberi jaminan bahawa anda mampu menjaganya. Oeh itu anda harus ingat, kemampuan anda menjaga seorang wanita diukur melalui aspek anda membuat keputusan, kedudukan kewangan dan fizikal anda sebagai lelaki.
24. Janji temu adalah mengenai situasi lelaki dan wanita memainkan peranan maskulin dan feminin masing-masing. Gentleman mesti memberi sepenuh perhatian pada wanita semasa membuat janji temu. Tunjukkan bahawa anda mempunyai sifat-sifat lelaki sejati: penjaga, pemimpin, tempat wanita mencurah kasih sayang. (Perasaan romantis wujud apabila ada sifat maskulin dan feminin dalam sesuatu pertemuan. Sifat feminin adalah sifat menerima manakala sifat maskulin adalah keupayaan memberi dan menjaga)


sumber: greateacheraja.blogspot.com

Monday, September 7, 2009

Seminar pengucapan awam dan protokol UPSI


Cikgu Saifudin semasa menjadi penceramah seminar pengucapan awam dan protokol anjuran Unit Bimbingan dan kaunseling UPSI 2007.

Friday, September 4, 2009

Milik siapa kejayaan?

Prof. Di Raja Ungku Aziz. Ikon Kejayaan rakyat Malaysia.
Ramai manusia yang inginkan kejayaan. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan kejayaan yang sebenarnya? ramai yang beranggapan bahawa kebanyakan graduan yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah atau Universiti adalah mereka yang berjaya, atau akan berjaya.


1. Saya ingin memberi gambaran perkaitan IQ dengan kejayaan. Mereka yang cemerlang IQ atau cemerlang atas kertas pepriksaan belum tentu lagi mereka akan berjaya dalam kehidupan, berjaya dalam apa yang dilakukan. Mengikut sebuah kajian, manusia yang paling tinggi IQnya di dunia yang pernah dicatatkan pada satu masa dahulu ialah Mariln Mach Vost Savant. Seorang perempuan!. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan, Mariln telah menceburkan diri dalam bidang penulisan.


2. Seorang lagi nama yang cukup dikenali di dunia, iaitu Dr. Robert Jarick dalam bidang perubatan. Beliaulah yang mencipta jantung tiruan yang memberi impak yang positif dalam bidang perubatan. Apa yang membezakan Dr. Robert dengan Mariln?


3. Cerita Dr. Robert sebelum menjadi terkenal cukup diselimuti dengan cerita-cerita sedih, beliau gagal dalam semua ujian masuk fakulti-fakulti perubatan di Amerika. Selepas kegagalan itu, Dr.Robert memohon masuk ke Universiti Itali dalam bidang perubatan, barulah diterima. Berdasarkan cerita ini, saya berani katakan bahawa Robert sebelum menjadi 'Dr. Robert' adalah seorang yang biasa sahaja IQnya pada peringkat sekolah menengah dan Universiti. Namun, Dr. Robert akhirnya lebih berjaya daripada Mariln Mach Vost! Dr. Robert berjaya memberi hadiahyang bermakna buat mereka yang mengidap kompilasi jantung di seluruh dunia!.


4. Apa yang saya nampak perbezaan Dr. Robert dengan Mariln adalah dari segi sikap, kreatif dan berani gagal dalam diri Dr Robert. Oleh itu, kejayaan sebenar seseorang itu tidak boleh dinilai daripada aspek IQ semata-semata. Berapa ramai di luar sana, dalam pemerhatian saya, mereka yang cemerlang di Universiti tidak mampu cemerlang dalam dunia kerjaya, bahkan tidak mampu mencari perkerjaan, bahkan lebih memalukan tidak mampu berdikari! Kejayaaan perlu dilihat bagaimana seseorang itu dapat membawa perubahan yang bernilai buat diri, keluarga da masyarakat.

Tuesday, September 1, 2009

Motivasi pada bulan Ramadan

Motivasi dan ibadah puasa.

Motivasi bermaksud sesuatu yang menggerak dan membangkitkan tenaga seseorang dalam melakukan sesuatu yang positif. Seseorang yang mempunyai motivasi dalam hidupnya tidak kira apa pun yang dilakukan, kita akan dapat lihat aura tenaga dan semangatnya yang berkobar-kobar dalam mengejar cita-cita. Ibadah puasa juga ada hubung kait dengan motivasi seseorang...dalam pandangan saya motivasi dalam ibadah puasa ada kaitan dengan hati dan niat seseorang.

1. Manusia sememangnya memerlukan motivasi dalam hidup. Sebagai contoh, Perkara paling asas yang saya nampak adalah rutin harian kita iaitu makan!. Kenapa kita makan?, bila kita lapar, perut akan menghantar isyarat ke otak, lalu otak akan mentafsir dan menggerakkan anggota lain untuk mencari makanan…motifnya adalah kenyang. Hal inilah yang menunjukkan kepada kita bahawa motivasi dalam diri akan menggerakkan jasad kita melakukan apa yang menjadi motif kita. Persoalannya, jika dilihat dari sudut makan, kenapa di bulan puasa manusia lapar juga, tetapi tetap tidak makan sehingga sampai waktu berbuka, adakah orang Islam tidak bermotivasi?. Dalam konteks ini, motivasi dalam dirilah yang membuatkan seseorang itu tetap berpuasa kerana menurut perintah Allah s.w.t, mengharapkan ganjaran pahala dan keredaan daripada Allah s.w.t. Motivasi ini saya namakan sebagai ‘Motivasi Agama’.
2. Apakah yang menjadi pendorong kita berpuasa? Kerana takutkan Allah dan taat perintah Allah dan yang paling utama kerana kita hamba.Maka seseorang yang bermotivasi dalam konteks ini, diberi pengampunan oleh Allah s.w.t dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t. Namun, ada juga orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa, hanya mendapat lapar dan dahaga. Orang yang sebegini, sememangnya bermotivasi juga dalam berpuasa, sehingga mampu menahan diri daripada makan dan minum, namun mereka berpuasa bukan kerana Allah s.w.t. Mereka ada motivasi untuk berpuasa kerana malu kepada manusia, takut orang nampak tidak berpuasa, malu kepada kekasih, malu kepada kawan, keluarga dan masyarkat.

3. Oleh itu, dalam kita berpuasa kita perlu jadikan keredaan Allah s.w.t sebagai motivasi yang utama pada bulan Ramadan agar ibadah puasa kita mendapat pahala dan keredaan Allah s.w.t.

Sampai jumpa lagi dalam siri ‘minda motivasi’ yang lain.

Terima Kasih.