Sunday, August 30, 2009

Kemerdekaan: pada pandangan anda?...

1. Wajah-wajah kebanggaan negara kita.


1. Setelah 52 tahun bebas daripada cengkaman penjajah, Malaysia terus membangun dengan pesatnya..


2. Bapa kemerdekaan kita.

1. Alhamdulillah.. Esok...Kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52. Maka ramailah dalam kalangan ahli politik, ahli akademik, pendakwah, aktivis masyarakat, bloger dan lain-lain masing-masing menzahirkan pendapat dan pandangan tentang erti kemerdekaan daripada perspektif tersendiri.

2. Sebagai warganegara yang cinta akan tanah air, Saya menjemput anda semua mengemukakan pandangan anda, bual bicara tentang erti kemerdekaan di 'post coment' .

Saturday, August 29, 2009

Kasih sayang- kunci kebahagiaan dan keamanan

Kasih sayang dalam keluarga dituntut dalam Islam. (Cikgu saifudin bersama keluarga tersayang)


Salam…sejak akhir-akhir ini mindaku lebih suka berberbicara, soal ‘cinta dan kasih sayang’. Hal ini kerana sememangnya menjadi impianku ingin melihat semua orang di sekelilingku khususnya,berkasih sayang sesama saudara, sahabat dengan sahabat, anak-anak muridku dengan guru-gurunya, guru-guru sesama guru, dan yang paling utama berkasih sayang dengan Allah s.w.t.


Komuniti yang berkasih sayang sesama mereka akan mewujudkan suasana yang bahagia, Kasih sayang kunci kebahagiaan, ketenangan dan keamanan, saya tekankan sekali lagi ‘kebahagiaan’. Adakah kita tidak mahu kebahagiaan?..(saya belanja anda makan KFC, jika anda tidak mahu kebahagiaan dalam hidup).

Hal ini membuktikan kepada kita semua bahawa kebahagiaan itu adalah fitrah. Sudah menjadi fitrah manusia inginkan kebahagiaan, bila kebahagiaan sudah tiada, maka manusia akan resah, gelisah, ‘tension’, marah-marah. Persoalannya, bagaimanakah ketenangan dan kebahagiaan hendak diwujudkan dalam jiwa?


Sekali lagi saya nyatakan, sebagai hamba Allah, kita seharusnya mempunyai ‘rasa’ kehambaan dan rasa bertuhan dalam hati. Mengapakah saya selalu tekankan rasa kehambaan ini, sama ada dalam siri tazkirah saya di surau Hidayah MRSM KK, dalam blog, juga percakapan harian…pentingnya rasa bertuhan ini adalah rasa bertuhan dalam diri akan menjadikan manusia berwatak hamba, tiada lagi ego, suka marah-marah, buruk sangka, benci membenci sesama saudara, rasa diri saja yang bagus orang lain tidak bagus, rasa diri sendiri yang sempurna, semua rasa ini bukan rasa dari rasa kehambaan, rasa-rasa ini semua adalah rasa tuan, tidakkah sifat tuan itu hanyalah Allah sahaja yang layak?



Kesan rasa kehambaan pada kebahagiaan manusia


Manusia yang tidak lagi rasa bertuhan dan hamba, mereka akan bertindak mengikut nafsu semata-mata, tidak kira dosa dan pahala, nafsu haiwan disuburkan, cinta akan dunia disuburkan dalam diri, kedua-dua ini adalah pembunuh jiwa!...apabila jiwa mati dan rosak, maka hilanglah ketenangan dan kebahagiaan, Allah akan cabut ketenangan dan kebahagiaan dalam hati.


Saya melihat dunia hari ini, ramai manusia yang kecewa dan putus asa, hilang kebahagiaan dalam kelurga, pelajar hilang kebahagiaan dalam sekolah, (sekolah dah nak buka..alamak tensionnya!!!), bertemu satu sama lain rasa tegang sahaja, rasa benci sahaja, rasa hendak tumbuk sahaja, menjeling-jeling mata menjadi budaya, aduh…sedarlah manusia. Manusia pada hari ini sudah bingung, semacam tidak tahu lagi hendak berubat macam mana…sesi kaunseling dengan kaunselor terlatih, yang hebat bercakap dalam media sekalipun tidak mampu lagi merubah penyakit berbahaya manusia ini, penyakit TB (tidak bahagia) ini sebenarnya lebih bahaya daripada H1N1. Keadaan manusia yang dapat penyakit TB (tidak bahagia) ini akan jadi semacam orang gila walaupun tidak gila. Mereka bercakap sendirian, mundar mandir mencari bahagia, mendengar lagu-lagu untuk bahagia, menghisap rokok untuk bahagia, aduhai manusia.Kenapa semua ini berlaku? Jawapannya manusia sudah hilang ketenangan dan kebahgiaan, manusia sudah hilang arah tuju sebenar dalam hidup.Manusia sudah tidak sedar punca kebahagiaan adalah kembali kepadaNya.


Kasih sayang! Ya…itulah kuncinya…bila manusia mula cinta dan sayang akan Allah s.w.t, maka kesannya akan nampak dalam perhubungan manusia. Manusia akan jadi lemah lembut dalam berbicara, tegur menegur, nasihat menasihati secara berhikmah, masing-masing faham tanggungjawab terhadap Allah s.w.t, tanggungjawab sebagai pelajar,faham tanggungjawab sebagai pendidik, tanggungjawab sebagai anggota masyarakat, Anak-anak sayang akan ibu ayahnya, tahu dan sedar tanggungjawab terhadap ibu bapa, anak-anak murid sayang akan gurunya, guru-guru mendidik anak muridnya dengan penuh berhikmah, senyum sentiasa terukir di bibir, bertegur sapa menjadi budaya. Tidakkah kita mahukan semua ini? Sekali saya nyatakan (saya akan belanja anda makan KFC kalau anda tidak mahu semua ini dalam hidup anda).


Sekian terima kasih. 7 pagi. RKW, MRSM KK.

Thursday, August 27, 2009

Cinta dan persoalannya-Vol II


Alhamdulillah…setelah siri artikel saya tentang ‘CINTA’ vol 1 diterbitkan dalam wadah ini, saya banyak mendapat respon daripada pengunjung blog…sama ada secara online atau di luar blog. Terima kasih atas respon dan pandangan anda. Justeru, dengan sambutan yang baik ini, saya terbitkan ‘Cinta dan persoalannya vol II’ seperti apa ynag dijanjikan.. Semoga dengan ‘post’ saya kali ini akan memberi ‘power cinta’ kepada kita yang menggerak jiwa dan fizikal kita dalam menuju cintaNya. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘power cinta’?...saya analogikan dalam beberapa situasi...

1. Cinta guru dengan pelajar?


Tuhan yang maha kuasa mencampakkan rasa kasih sayang seorang sahabat dengan sahabatnya…saudara dengan saudara, bahkan jangan terkejut, jika dalam diri pelajar juga Allah s.w.t campakkan rasa kasih dan sayang kepada gurunya. Kenapa hal ini berlaku?...ya..bila seseorang guru mendidik anak muridnya dari hati…mendidik pelajar-pelajarnya dengan kasih sayang, penuh berhikmah, mengharapkan anak didiknya mendapat ilmu sehingga timbul cinta dan takutkan Allah, maka tidak salah bila pelajar-pelajarnya jatuh kasih dan jatuh sayang pada gurunya kerana Tuhan telah mencampakkan ‘rasa’ dalam hatinya, rasa hormat, kasih dan sayang pada gurunya, guru yang mengajar, mendidik dan membimbing pelajar menuju cintaNya. Sumber cinta yang suci ini adalah daripada Tuhan yang maha Penyayang. Persoalannya, kasih sayang yang murni dan profesional ini mungkin akan membawa ke satu tahap yang dikatakan ‘cinta kontemporari'. Dalam pemerhatian saya, ramai juga dalam kalangan pelajar-pelajar kita di luar sana yang berkahwin dengan gurunya sendiri selepas tamat sekolah atau pengajian sama ada di peringkat sekolah atau universiti…salahkah?, ganjilkah?, pelikkah?..maka jawapannya… tidak salah bila kena cara, profesional hubungan dan murni kerana Allah. Namun begitu, dalam konteks dunia pendidikan hari ini, perlu diberi perhatian di sini, menjadi satu kesalahan dari segi etika dan profesionalisme guru bila seseorang guru itu ada hubungan cinta dengan pelajarnya semasa pelajarnya masih bergelar pelajar secara rasmi di sekolah. Namun, setelah pelajarnya menamatkan pengajian, maka hal demikian perlu dilihat dari aspek yang lain pula. Cuma, apa yang ingin ditekankan di sini oleh saya adalah cinta dalam konsep yang sebenarnya menurut perspektif islam. Persoalan lagi…dari manakah puncanya perasaan yang hebat ini? yang membuatkan manusia boleh jatuh cinta kepada seseorang walau dalam banyak keadaan yang tidak dijangka?

Maka jawapannya...Sumber utama ‘Power cinta’ ini adalah daripada 'Tuhan' dan 'siraman kasih sayang'.

Cuba kita lihat diri kita sendiri...sebelum ini kita tiada di muka bumi ini. Bermulanya seorang lelaki suka kepada seorang wanita maka timbul cinta antara keduanya dan akhirnya manusia berkahwin. Daripada perkahwinan maka lahirlah zuriat, lahirlah kita ke dunia ini. Bagaimanakah terjadinya kuasa yang menakjubkan ini? kuasa siapakah yang hebat ini, yang mencampakkan benih kasih sayang dalam hati manusia..inilah kuasa yang maha kuasa..Allah s.w.t. Hal ini menggambarkan maha hebatnya kuasa yang mencampakkan benih kasih sayang dalam diri manusia...Tuhan yang Maha Agung..Allah s.w.t.

2. Kenapa cinta boleh datang dan pergi?

Ya..cinta boleh datang dan pergi. Kadang-kadang cinta hanya singgah sekejap sahaja, lalu terus pergi tak kembali. Ada juga cinta yang bertahan lama hingga ke akhir hayat bahkan sampai ke akhirat. Hal demikian menggambarkan kepada kita beberapa 'sifat' cinta yang perlu kita sedari. Bila manusia sudah memutuskan hubungannya dengan Allah s.w.t..bila masing-masing mempunyai kepentingan sendiri, ego yang membuak-buak, tidak lagi rasa di hati takut dan gerun kepada yang maha mencipta cinta, maka Allah s.w.t akan mencabut sedikit demi sedikti kuasa cinta dalam hati manusia. Maka berlakulah pertelingkahan, pergaduhan, perselisihan faham, konflik rumahtangga, konflik bersahabat, konflik suami isteri, konflik anak-anak dengan ibu-bapa hingga membawa perceraian, permusuhan dan sebagainya. Oleh itu, cinta yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada manusia perlulah disuburkan dengan baja keimanan dan ketakwaan yang bertunjangkan masing-masing cinta akan Allah s.w.t dahulu. Manusia yang cinta akan keluarganya kerana Allah, cinta akan isteri kerana Allah, cinta akan suami kerana Allah, sayang akan anak-anak kerana Allah akan mempunyai peribadi yang baik, masing-masing begitu menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t sehinggakan Allah s.w.t memberi keberkatan dalam hidupnya...seseorang yang cinta akan Allah s.w.t akan mempunyai sifat yang terpuji, mahmudahnya dapat dilihat dari riak wajahnya, dari perangainya yang sabar, tenang, nampak kasih sayangnya, lembut dalam berbicara, dan pergaulan, tidak prasangka, boleh bawa berbincang, tiada dengki, tiada benci membenci dan banyak lagi sifat-sifat mahmudah yang lain. Kenapa jadi begini? kerana seseorang itu cinta akan Allah s.w.t. Orang yang bercinta dia akan buat apa sahaja untuk kekasihnya, begitu juga dengan seseorang yang bercinta dengan Allah s.w.t..dia akan buat apa sahaja yang disuruh oleh Allah s.w.t untuk Tuhan yang dicintainya iaitu Allah s.w.t. Bila suasana seperti ini berlaku dalam komuniti kita, Maka akan lahirlah keluarga yang bahagia, anak-anak yang bahagia, dan rumahku syurgaku dan warga Maktab Rendah Sains Mara yang bahagia! . Akhir sekali lahirlah masyarakat yang aman dan harmoni hasil daripada individu yang cinta akan Tuhannya.

Sekian, terima kasih.
Menjelang Sahur...MRSM KK.

Wednesday, August 26, 2009

Petikan akhbar...Bahasa Melayu 'tenat'?

Bahasa Melayu semakin tenat?

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


ANTARA peserta Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan Forum Pendidikan di Aswara.

Usaha perkasa melalui pemansuhan PPSMI tidak meninggalkan kesan positif

KEMAMPUAN memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara semakin tenat, walaupun kerajaan sudah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat mulai 2012 hingga 2016.

Usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui pemansuhan PPSMI tidak meninggalkan kesan positif kepada pelajar, malahan pendekatan itu dianggap sekadar sampingan memandangkan pengajian pada peringkat universiti masih mengutamakan bahasa Inggeris.

Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata situasi ini membantutkan usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat lebih tinggi, apatah lagi kedudukan Kesusasteraan Melayu semakin hilang arah tuju.

“Ini kerana kebanyakan kelas aliran sastera ditutup akibat sambutan kurang memberangsang ekoran pelajar cenderung mengambil aliran sains," katanya pada Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan 2009 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baginya, pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap masalah terbabit kerana mata pelajaran Kesusasteraan Melayu boleh digunakan sebagai subjek untuk meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan pelajar, sekali gus memberi ruang untuk karya sastera mendapat tempat dalam masyarakat.

DARI kiri, Dr Teo Kok Seong, Dr Abdullah Hassan dan Dr Krishnan Maniam.

"Pendekatan terbaik mempertahankan bahasa Melayu adalah dengan mewajibkan penggunaannya pada peringkat universiti. Korpus bahasa Melayu sudah hampir sempurna dan bahasa ini sudah mencapai status bahasa moden selain mampu mengungkapkan perkara konkrit dan abstrak termasuk dalam subjek Sains dan Matematik," tegasnya.

Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, menyifatkan penggunaan bahasa Melayu rendah menyumbang kepada kemunduran bahasa dan kebiasaan masyarakat menggunakannya dalam karya drama dan filem menyebabkan bahasa Melayu tinggi menjadi janggal kepada mereka.

"Setiap individu di negara ini perlu mempelajari bahasa Melayu tinggi kerana penggunaannya dalam menulis laporan, sesi temu duga dan mencerminkan sikap dan nilai yang wujud dalam masyarakat Melayu. Penulisan karya juga sewajarnya menggunakan bahasa yang baik," katanya pada forum yang dipengerusikan oleh pengarang muda, Mohd Faizal Musa.

Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan sikap bangsa Melayu yang tidak prihatin terhadap masalah ini kerana kebanyakan karya di televisyen atau panggung wayang menggunakan bahasa rojak yang kononnya mencerminkan realiti masyarakat, sedangkan ia boleh ditampilkan melalui kaedah lebih positif.

“Novel Indonesia, Laskar Pelangi, menggunakan bahasa tinggi bagi menyampaikan kisah kehidupan masyarakat dan keindahan terpancar. Pendekatan sedemikian jarang didapati dalam karya Melayu yang kurang mendokong usaha memperkayakan bahasa Melayu," katanya.

Pensyarah Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Krishnan Maniam, pula menekankan kepentingan penggunaan makna tersirat seperti perumpamaan dan peribahasa dalam sistem pendidikan mahupun kehidupan seharian kerana ia adalah wadah pengucapan ringkas, tetapi padat dengan maksud.

"Bagaimanapun sikap sambil lewa masyarakat kita melunturkan penggunaannya, tambahan pula masyarakat moden tidak mementingkan huraian dan menganggap Kesusasteraan Melayu sebagai subjek sampingan. Sekiranya diteliti syair klasik, Siti Zubaidah, menghiburkan dan membawa maksud tersirat serta dapat mengasah pemikiran masyarakat," jelasnya.

Senario yang dibentangkan itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mempunyai kekuatan tersendiri dan Kesusasteraan Melayu sewajarnya dijadikan agen pendidikan tanah air bagi memastikan identiti dan jati diri penduduk semakin kukuh.

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Tuesday, August 25, 2009

Facebook cikgu saifudin

Salam semua...

1. Saya menjemput anda semua berinteraksi bersama saya, berkongsi maklumat dan info terkini dalam facebook saya...search:Cikgu Saifudin.

2. Facebook...satu lagi wadah 'minda saifudin' untuk kita dalam meniti cintaNya.

Monday, August 24, 2009

Kuasa Rasa

1. Kuasa Rasa...persoalan yang ditimbulkan oleh salah seorang pengunjung blog.

2.Perlu diingatkan, kita bukan bergantung kepada rasa semata-mata, sebenarnya apa yang saya maksudkan adalah setiap apa yang kita lakukan mestilah bergantung kepada Allah sw.t. Rasa di hati adalah sebagai panduan dan cetusan rasa untuk membuat sesuatu keputusan.

2. Apakah itu rasa?...Rasa adalah suatu yang subjektif, abstrak, mungkin boleh sampai ke tahap 'metafizik'...rasa yang baik adalah cetusan rasa hati yang dicampakkan oleh Allah kepada hambaNya...bila hati terlalu bersih, manusia dapat merasakan sesuatu yang benar...pandangannya menembusi hijab, dapat menembusi alam dunia...firasatnya kehendak Allah sehingga mampu membuat keputusan yang betul dan tepat...tetapi hati yang biasa dan jauh daripada Allah s.w.t mungkin cetusan rasa di hatinya ada ganguan daripada syaitan sehinggakan setiap keputusan dan apa yang dilakukan selalu sahaja tidak kena, tidak menjadi, dan tidak berjalan lancar kerana seseorang itu telah memutuskan hubungannya dengan Allah s.w.t yang maha kuasa di atas segalanya. Oleh itu, sebagai hamba Allah yang serba kekurangan...sentiasalah kita meminta petunjuk daripadaNya, solat istikharah selalu, agar rasa di hati kita adalah rasa yang tepat dan setiap apa yang kita lakukan dapat bimbingan daripada Allah s.w.t. Terima kasih.

Cuba renungkan: 'Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih'.

Sunday, August 23, 2009

Amalan di bulan Ramadan.


1. Hari ini, masuk hari kedua kita berpuasa. Perjalanan kita masih panjang lagi di bulan Ramadan kali ini. Ramai dalam kalangan umat islam pada hari ini, berlumba-lumba dalam melakukan ibadah di bulan puasa untuk mendapatkan seberapa banyak pahala daripada Allah S.W.T

2. Di antara amalan yang boleh dilakukan oleh kita di bulan yang mulia ini adalah...membaca Quran, solat sunat, ibadah malam, solat sunat, berzikir, mendengar lagu nasyid, bersedekah dan banyak lagi.

3. Pada hemat saya...di sebalik semua amalan ibadah yang kita lakukan...ada satu amalan yang ramai orang terlepas pandang. Saya namakan di sini, 'ibadah Rasa'. Ibadah rasa bermaksud dalam kita beribadah...kita merasakan dalam diri kita kebesaran Allah, keagungan Allah, rasa takut padaNya, rasa gerun padaNya, rasa kita hina, rasa kita berdosa, rasa kita tidak layak untuk syurga Allah, rasa kerdil disisi Allah. semua rasa ini akan membawa kita lebih dekat padaNya. Pahala dari ibadah rasa ini di bulan ramadhan lagi berlipat kali ganda berbanding mereka yang solat, baca quran tapi tidak ada rasa apa-apa. Bahkan, yang lebih teruk dapat dosa dalam beribadah, contoh solat dengan riak, puasa bak menunjuk, menderma nak menunjuk-nunjuk.

4. oleh itu, saya menyeru diri saya sendiri dan anda semua di luar sana, marilah sama-sama kita beribadah di bulan ramadhan kali ini disertai dengan penuh rasa kehambaan.

Wednesday, August 19, 2009

Ahlan wasahlan ya Ramadhan

1. Alhamdulillah, bulan Ramadhan kini menjelma lagi. Saya mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan kepada semua pelawat blog saya, semua pelajar muslim MRSM KK terutamanya kelas yang saya ajar, 4 Nilam, 4 Berlian, 2 Nilam, 2 Mutiara dan 3 Mutiara.
2. Semoga 'perjalanan' kita dalam bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun lepas, lebih banyak ibadah yang dilakukan, lebih memberi kesan pada jiwa, mendidik nafsu, dan lebih mendekatkan diri kita kepada Tuhan yang maha Agung.
3. Bulan yang penuh keberkatan, dibuka seluas-luasnya pintu syurga.
4. Saya melihat Ramadhan sebelum ini pada sesetengah orang menyambutnya dengan gembira. Namun, apa yang digembirakan? adakah gembira dengan kedatangan Ramadhan ini boleh menjalankan perniagaan di pasar Ramadahan?, mendapat tempahan baju raya bagi tukang jahit?, pesta tarawikh semata-mata? boleh memuaskan nafsu di pasar ramadhan?.
5. Bagi orang yang beriman, kedatangan Ramadhan membawa kegembiraan dan juga kesedihan. Kegembiraan kerana dapat melakukan amal ibadah dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, namun kenapa saya nyatakan ada juga yang bersedih dengan kedatangan Ramadhan? mungklin ramai yang terkejut dengan kenyataan saya ini. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan di sini adalah, orang yang beriman akan berasa sedih mengenangkan Ramadhan yang lepas tidak banyak ibadah yang dilakukan, masih banyak kekurangannya dan takut dan bimbang kalau Ramadahan kali ini tidak mampu dilakukan dengan sempurna.
6. Oleh hal demikian, bagi orang yang beriman, setiap kali di awal Ramadhan, mereka akan berazam dan bertekad moga-moga Ramadhan yang bakal menjelma bakal ditempuhi dengan penuh rasa kehambaan, ketakwaan dan konsisten dalam melakukan amalan ibadah.

Friday, August 14, 2009

Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia.



1. Vokalis utama kumpulan Rabbani meninggal dunia semalam (13 ogos 2009) selepas jatuh pengsan semasa memberi ucapan dalam program 'Syahadah' di RTM. Takziah buat keluarga Allahyarham.

2. Dunia nasyid tanah air pasti bersedih dengan pemergian beliau. Banyak jasa dan sumbangan beliau dalam indusrti nasyid tanah air. Allahyarham ustaz Asri ialah sifu bagi kumpulan-kumpulan nasyid tanahair, ustaz dan pendakwah.

3. Saya menerima berita pemergian beliau semalam semasa mengajar di dalam kelas. panggilan telefon daripada kawan saya, rupanya berita yang amat sedih buat diri saya.

4. Saya mengenali ustaz Asri seawal umur 1o tahun lagi. Membesar dengan dendangan lagu-lagu beliau, pada masa itu Asri dalam kumpulan Nadamurni. Saya juga pernah bersua dengan beliau, membuat persembahan bersama kumpulan Rabbani melalui lagu Intifada. Semua kenangan ini akan saya abadikan dalam hidup saya.

5. Nasihat dan tunjuk ajar Allahyarham kepada saya akan saya jadikan panduan dalam meniti hidup ini.
6.Terima kasih Tuhan atas nikmat dan kurniaanMu yang tak terhitung. Masih memberi udara dan ruang untukku bernafas lagi. Jika melihat dengan dosa-dosa yang kulakukan, aku malu padaMu Tuhan. Ampunkanlah dosa-dosaku.