Saturday, September 19, 2009

Tuhan adalah segala-segalanya (1)

Menziarahi kubur nenek pada pagi hari raya

Salam, sudah beberapa hari rasanya ‘entry’ ini tidak diisi dengan pengisian rohani. Kesibukan dengan kerja-kerja di maktab tambahan lagi dengan persiapan menyambut hari raya aidilifitri, balik kampung dan aktiviti di bulan Ramadan.


Kali ini, saya kembali lagi dengan bicara ‘rasa’. Segala apa yang bakal dikongsi ini adalah hasil curahan ilmu oleh guru saya yang banyak memberi kesan dalam kehidupan saya. Semasa saya di sekolah menengah, saya banyak didik olehnya. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepadanya. Beliau sekarang dikhabarkan dalam keadaan yang kurang sihat. Semasa ayah dan ibu saya melawatnya, senyuman tetap terukir di wajahnya walaupun dalam keadaan sakit. Itulah sebahagian sikapnya, perbuatannya adalah medium utama dalam menyampaikan dakwah.


Inilah antara mutiara ilmu yang dicurahkan oleh beliau yang boleh dikongsi bersama, semoga kedatangan syawal pada kali ini membawa perubahan kepada diri kita. Ramadan yang bakal meninggalkan kita telah membawa kesan dalam jiwa kita sehingga kita akhirnya mengenal diri kita sebagai seorang HAMBA.

1. Memiliki rasa kehambaan secara automatik akan turut memiliki rasa bertuhan dan bagitulah sebaliknya.. Rasa kehambaan ertinya hati sentiasa dikuasai oleh rasa atau perasaan yang selayaknya bagi seorang hamba.Seorang hamba selayaknya merasai hina, lemah, dhaif, berdosa, bersalah, takut, bimbang, cemas, mengharap, rasa dikuasai, rasa menyerah, rasa dilihat dan diketahui oleh Allah swt.

2. Memiliki rasa kehambaan ini adalah salah satu rahsia kebahagiaan hidup. Ini kerana perasaan tenang, tenteram, tidak terganggu dan tidak tergugat oleh apa pun dalam hidupnya. Semuanya tenggelam dalam takut dan cinta kepada Allah swt. Yakni tiada apa lagi yang ditakutinya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah takutkan Allah swt. Perasaan takut kepada yang lain itu tidak lebih hanyalah takut yang bersifat fitrah yang tidak akan sampai mengatasi takutkan Tuhan. Begitu juga tiada apa yang dicintainya kerana semuanya sudah tenggelam dibawah cintakan Allah swt. Perasaan cinta kepada yang lain itu hanyalah cinta fitrah yang tidak sampai mengatasi cintanya kepada Allah swt.

3. Bukan mudah untuk memiliki rasa kehambaan kepada Tuhan. Rata-rata kita menempuh pendidikan formal atau informal yang mendorong atau merangsang atau menyuburkan sifat dan sikap angkuh, sombong, takbur, membesarkan diri, hairan dan ajaibkan diri, kagum kepada diri, degil, ego dan mementingkan diri. Inilah sifat iblis yang Tuhan lemparkan laknat kepadanya. Bukan mudah untuk mengikis sifat dan sikap iblis ini. Lantaran itulah manusia bukan sahaja sanggup menzalimi sesama manusia, bahkan terhadap Allah swt pun manusia sanggup derhaka. Sebab itu kalau kita lihat mana-mana manusia kalau terhadap Tuhan yang Maha Berkuasa yang sepatutnya ditakuti, pun sanggup dia derhaka, agak-agaknya apakah orang begini takut dengan manusia dan undang-undang manusia. Melainkan selagi ada cara untuk lepas dan bebas nescaya akan dilakukannya.

Bersambung....


No comments: