Wednesday, August 26, 2009

Petikan akhbar...Bahasa Melayu 'tenat'?

Bahasa Melayu semakin tenat?

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


ANTARA peserta Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan Forum Pendidikan di Aswara.

Usaha perkasa melalui pemansuhan PPSMI tidak meninggalkan kesan positif

KEMAMPUAN memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara semakin tenat, walaupun kerajaan sudah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat mulai 2012 hingga 2016.

Usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui pemansuhan PPSMI tidak meninggalkan kesan positif kepada pelajar, malahan pendekatan itu dianggap sekadar sampingan memandangkan pengajian pada peringkat universiti masih mengutamakan bahasa Inggeris.

Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata situasi ini membantutkan usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat lebih tinggi, apatah lagi kedudukan Kesusasteraan Melayu semakin hilang arah tuju.

“Ini kerana kebanyakan kelas aliran sastera ditutup akibat sambutan kurang memberangsang ekoran pelajar cenderung mengambil aliran sains," katanya pada Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan 2009 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baginya, pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap masalah terbabit kerana mata pelajaran Kesusasteraan Melayu boleh digunakan sebagai subjek untuk meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan pelajar, sekali gus memberi ruang untuk karya sastera mendapat tempat dalam masyarakat.

DARI kiri, Dr Teo Kok Seong, Dr Abdullah Hassan dan Dr Krishnan Maniam.

"Pendekatan terbaik mempertahankan bahasa Melayu adalah dengan mewajibkan penggunaannya pada peringkat universiti. Korpus bahasa Melayu sudah hampir sempurna dan bahasa ini sudah mencapai status bahasa moden selain mampu mengungkapkan perkara konkrit dan abstrak termasuk dalam subjek Sains dan Matematik," tegasnya.

Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, menyifatkan penggunaan bahasa Melayu rendah menyumbang kepada kemunduran bahasa dan kebiasaan masyarakat menggunakannya dalam karya drama dan filem menyebabkan bahasa Melayu tinggi menjadi janggal kepada mereka.

"Setiap individu di negara ini perlu mempelajari bahasa Melayu tinggi kerana penggunaannya dalam menulis laporan, sesi temu duga dan mencerminkan sikap dan nilai yang wujud dalam masyarakat Melayu. Penulisan karya juga sewajarnya menggunakan bahasa yang baik," katanya pada forum yang dipengerusikan oleh pengarang muda, Mohd Faizal Musa.

Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan sikap bangsa Melayu yang tidak prihatin terhadap masalah ini kerana kebanyakan karya di televisyen atau panggung wayang menggunakan bahasa rojak yang kononnya mencerminkan realiti masyarakat, sedangkan ia boleh ditampilkan melalui kaedah lebih positif.

“Novel Indonesia, Laskar Pelangi, menggunakan bahasa tinggi bagi menyampaikan kisah kehidupan masyarakat dan keindahan terpancar. Pendekatan sedemikian jarang didapati dalam karya Melayu yang kurang mendokong usaha memperkayakan bahasa Melayu," katanya.

Pensyarah Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Krishnan Maniam, pula menekankan kepentingan penggunaan makna tersirat seperti perumpamaan dan peribahasa dalam sistem pendidikan mahupun kehidupan seharian kerana ia adalah wadah pengucapan ringkas, tetapi padat dengan maksud.

"Bagaimanapun sikap sambil lewa masyarakat kita melunturkan penggunaannya, tambahan pula masyarakat moden tidak mementingkan huraian dan menganggap Kesusasteraan Melayu sebagai subjek sampingan. Sekiranya diteliti syair klasik, Siti Zubaidah, menghiburkan dan membawa maksud tersirat serta dapat mengasah pemikiran masyarakat," jelasnya.

Senario yang dibentangkan itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mempunyai kekuatan tersendiri dan Kesusasteraan Melayu sewajarnya dijadikan agen pendidikan tanah air bagi memastikan identiti dan jati diri penduduk semakin kukuh.

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

2 comments:

Cikgu Saifuddin said...

Saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh prof. Emeritus Abdullah Hassan..kita mesti menjadikan Bahasa Melayu tinggi sebagai mekanisme yang terbaik dalam menzahirkan indentiti rakyat Malaysia. Bahasa menunjukkan budaya, nilai dan aset yang amat bernilai bagi kita semua. kepada pejuang-pejuang bahasa..teruskan perjuangan kalian.

Anonymous said...

salam

pada pendapat saya,PPPSMI boleh dimansuhkan.Sebenarnya Bahasa Melayu tidaklah tenat sekiranya kita semua bersatu mendukung usaha ini.Pernahkah anda belajar Sejarah?Saya amat pasti pendapat yang diutarakan pejuang-pejuang bahasa kita mengambil kira faktor Sejarah. Hal ini kerana ,suatu ketika dahulu Bahasa Melayu ini menjadi lingua franca yang wajib dipelajari bagi sesiapa yang menjejaki Tanah Melayu hinggakan ini bahasa ini dikatakan amat mudah untuk dipelajari oleh pedagang luar.Sebenarnya kita mampu untuk berdiri setanding dengan negara Jepun yang hanya menggunakan bahasa ibunda mereka.Mereka tidak perlu bersusah payah memepelajari bahsa Inggeris sebaliknya orang yang mengunjungi Bumi Jepun yang harus mempelajari bahasa mereka.
Seiring dengan itu,barulah kita memperkasakan Bahasa Inggeris kita.Kalau dilihat masyarakat dahulu tidak kurang hebatnya Bahasa Inggeris mereka malah lebih hebat daripada kita yang mentelaah bahasa ini di sekolah.Hal ini berikutan,penjajahan British di negara kita.Oleh itu,kita perlu menyasarkan bahawa kedua-dua bahsa ini perlu digerakkan seiring.Bahasa Inggeris yang dipelajari memudahkan sebenarnya jika kena pada caranya.Hal ini dinilai daripada perspektif para pendidik.kalau guru kencing berdiri,murid kencing berlari.Tambahan pula,PPSMI telah membuatkan term dalam Sains dan Matematik perlu diubah dan kurang faham sekiranya PPSMI dimansuhkan. Apa pun ,kedua-dua bahasa ini perlu digerakkan seiring?Hal ini akn menjadi mudah sekiranya kita bersatu padu menggerakkannya.Kadang-kadang ,kita lihat sendiri Orang Melayu sendiri malu nak tuturkan bahasa melayu.Kenapa tidak ,jika kita berurusan di luar negara kita bercakap Bahsa Melayu dan buat semua orang tercengang tetapi selepas itu barulah kita speaking.Biar mereka tahu kehebatan orang Melayu.Tetapi,siapa yang berani?